Piala Malaysia: Kedah yakin boleh 'pulun' Selangor




Photo by: Hafiz Zam

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menaruh keyakinan tinggi kepada skuad Helang Merah untuk membawa pulang Piala Malaysia pada final bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini, selepas tujuh tahun kempunan meraih kejayaan itu. Keyakinan itu disuarakan Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berdasarkan prestasi baik ditunjukkan pemain dalam perlawanan sebelum ini. "Tahun lalu, kita tak berpeluang bawa balik meskipun dah berjaya melangkah ke perlawanan akhir tapi tahun ini dengan doa dan semangat pemain serta penyokong, saya yakin Kedah berjaya bawa balik. "Ia berdasarkan prestasi baik pemain boleh kata semua pun tiada kecederaan, keadaan fizikal pasukan pun kuat malah momentum pemain dari mula saya tengok semangat juang mereka memang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali, di sini. Kali terakhir Kedah membawa pulang Piala Malaysia adalah pada tahun 2008 selepas menewaskan Selangor 3-2 sekali gus mengekalkan kejuaraan yang mereka menangi pada 2007. Mengenai ganjaran kepada barisan pemain yang layak ke aksi akhir ini, Ahmad Bashah berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) minggu ini. Pada masa sama, Ahmad Bashah juga meminta supaya pemain ke-12 pasukan Kedah supaya menjaga tingkah laku dengan menjauhi sebarang cubaan provokasi, sekali gus tidak mencemarkan imej KFA. "Tingkah laku itu penting, janganlah buat sesuatu perkara yang boleh menjejaskan imej pasukan Kedah atau adanya unsur yang tidak dibenarkan Persatuan Bola Malaysia (FAM) termasuk membawa benda yang dilarang ke dalam stadium. "Ini kerana peminat bola sepak seluruh negara meletakkan Kedah pada tahap yang dibanggakan juga malah ada sokongan negeri lain terhadap kita jadi kita nak mereka beri fokus pada perlawanan sahaja," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/206149?m=1




Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/206149?m=1



No comments

Powered by Blogger.