LIGA RAKYAT MALAYSIA
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Semua Pembaca Laman Astro Arena. Saya mendoakan agar semua pembaca dan peminat sukan tanahair sentiasa ceria dan sihat dalam kita menjalani kehidupan harian.
Baru-baru ini Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah melontarkan satu cadangan dan hasrat untuk mengwujudkan satu lagi Pertandingan Bolasepak kelolaan FAM yang dikenali sebagai Liga Rakyat.Hasrat Presiden FAM itu adalah supaya Liga Rakyat ini disertai oleh pasukan-pasukan terdiri daripada Daerah-Daerah di Seluruh Pelusuk Negara. Saya melihat idea ini sangat menarik dan mampu menarik peminatnya yang tersendiri dan tidak keterlaluan jika saya katakan ianya mampu menyamai kemeriahan Liga Malaysia.
Mungkin hasrat Presiden untuk mengwujudkan Liga Rakyat ini dengan tujuan untuk menyediakan satu lagi medan pertarungan bolasepak yang seratus peratus diwakili oleh pemain-pemain tempatan yang bertaraf amatur. Ianya secara tidak langsung menepati dengan status dan kedudukan permainan bolasepak itu sendiri sebagai sukan Paling Popular dan mempunyai peminat dan pengikut yang paling ramai di Malaysia.
Satu lagi sebab utama yang mendorong saya untuk menyokong idea ini adalah Pengaktifan semula Persatuan-Persatuan Bolasepak Daerah yang sememangnya saya percaya telah lama wujud tetapi fungsi dan peranannya telah mati.
Kita tetap akur bahawasanya dengan memasuki era professional ini, ianya adalah sebahagian daripada tuntutan dan keperluan yang mesti kita patuhi sejajar dengan ketetapan yang diperuntukkan dalam perlembagaan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) namun tiada salahnya juga andai kita mencipta suatu kelainan yang langsung tidak menyalahi undang-undang yang sedia ada. Reality yang harus kita telan dan berlaku ketika ini adalah apabila terdapatnya segelintir pemain yang beraksi dalam kejohanan sedia ada ini hanyalah semata-mata kerana mengejar ganjaran dan wang ringgit sahaja. Mereka bermain lebih kepada sebagai punca rezeki dan materialistic tanpa menghiraukan Tuntutan Jati Diri sebagai pemain yang mahu mewakili Negara.
Justeru saya membayangkan hasrat Tengku Abdullah untuk mengwujudkan Liga Rakyat ini adalah bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang minat dan berkemahiran dalam sukan bolasepak mempamerkan aksi-aksi mereka dengan mewakili daerah masing-masing.
Saya percaya hasil yang akan dipertontonkan andai Liga Rakyat ini menjadi kenyataan adalah permainan bolasepak yang dimainkan oleh mereka-mereka yang benar-benar cinta dan minat dengan sukan ini kerana mereka ini semua bukanlah dibayar untuk bermain tetapi mereka bermain kerana minat dan kesungguhan untuk menjulang nama Daerah tempat tinggal mereka. Secara tidak langsung Liga Rakyat ini sama sekali akan memberi Impak Positif andai ianya terlaksana dan memberi saingan peribadi yang sangat sihat kepada pemain tempatan yang beraksi dalam Liga Profesional. Oleh itu sudah tentulah ianya akan membuka lebih luas medan buat Jurulatih pasukan Negara memilih pemain untuk pasukan kebangsaan.
Menyentuh dari segi perlaksanaan Liga Rakyat ini pula, FAM seharusnya mempunyai satu jawatankuasa khas bagi mengendalikan Liga Rakyat ini. Jawatankuasa ini seharusnya terdiri daripada mereka-mereka yang sama sekali tidak terbabit dalam pengurusan Liga Profesional yang sedia ada ini. Saya menaruh keyakinan yang amat tinggi terhadap penganjuran Liga Rakyat ini menjadi kenyataan. Jika dihitung penyertaannya nanti, kita bakal menyaksikan sejumlah 145 pasukan bolasepak daerah di seluruh Malaysia akan berentap dan berjuang bagi menjulang nama daerah Tanah Tumpah Darah Kita.
Asmawi bakiri
Post a Comment