Tajaan Qu puteh pada Kelantan

Tulisan saudara LUCIUS MAXCIMUS dr fb beliau
Suatu yg bernas dan selayaknya difikirkan bersama


+++++++++++++++++++++++++++++

Legasi & Tradisi atau Qu Puteh?

Aku tulis ini untuk menjawab saudara Rem Dambul, seorang kenalan yang aku hargai tulisan dan pandangannya tetapi berbeza pendapat kerana:

1) Aku melihat isu ini sebagai seorang pencinta bola sepak
2) Aku rasa tak patut semua benda dalam dunia ini ada 'tanda harga'.

Saudara Rem ada mengatakan dalam kes Qu Puteh taja Kelantan, kita terpaksa membelakangkan legasi dan tradisi demi survival atau kelangsungan hidup. Ini merujuk kepada khususnya isu warna stadium dan jersi Kelantan yang hendak ditukar kepada merah jambu.

Ya, bola sepak seperti juga sukan lain memerlukan tajaan untuk hidup. Ini juga yang berlaku di England atau negara bola sepak maju yang lain. Kelab atau pasukan bola di sana sebenarnya tidak boleh hidup dengan hanya jualan tiket atau barangan merchandise. Penajaan adalah sumber kewangan untuk ikhtiar hidup mereka. Duit hasil menang liga atau piala pun jauh dari cukup untuk kelangsungan hidup.

Tetapi yang membezakan tajaan di sana dengan tajaan Qu Puteh ialah adab dan hormat. Adab antara penaja dan pihak yang ditaja, serta rasa hormat antara penaja dan pihak yang ditaja.

Dalam kes Qu Puteh taja Kelantan, adab itu hilang bila penaja sudah mendedahkan isi perbincangan yang mungkin sulit sebelum perjanjian dimeterai dan mengugut tajaan diberikan kepada pihak lawan jika kehendaknya tidak dipuaskan. Hormat itu hilang bila penaja meletakkan syarat mengikut hawa nafsu sendiri tanpa mempedulikan legasi, tradisi dan juga sentimen pasukan serta penyokong Kelantan.

Kita bercakap isu ini lebih dari sekadar warna. Ya, boleh cat stadium warna merah jambu dan boleh tukar warna jersi juga kepada merah jambu (cuma dalam norma bola sepak, hanya warna jersi kedua atau ketiga sahaja yang selalunya boleh ditukar). Tetapi penaja yang beradab dan ada rasa hormat lebih bijak untuk tidak memburukkan reputasi mereka dengan tidak mencampuri urusan legasi dan tradisi ini.

Atas sebab itulah di Eropah sana, tajaan terhad kepada meletakkan nama jenama di jersi atau membeli naming rights ke atas stadium. Paling tidak pun dengan mengecat kerusi stadium dalam corak yang menonjolkan nama atau logo.

Tetapi bila penaja lebih mementingkan kepuasan nafsu sendiri sampai melanggar legasi dan tradisi tanpa sedikit pun ambil peduli pada sentimen peminat pasukan, maka cemuhan dan reputasi yang buruk adalah 'ubatnya'.

Konsep penajaan yang baik ialah penajaan yang dibuat demi kebaikan sukan yang ditaja. Penajaan yang jahanam pula ialah penajaan yang dibuat demi kepentingan penaja atas kesempitan pihak yang ditaja. Mula dari merah jambu dan tukar nama, kini mahu duduk di bangku simpanan dan mengharamkan penaja lain seperti Nike. Ini bukan menaja untuk kebaikan sukan bola sepak, tapi ini menaja untuk menjahanamkan.

Dan antara dua jenis penajaan di atas ini janganlah kita kaitkan ia dengan kebaikan atau kebajikan. Penajaan ada give and take. Kebaikan atau kebajikan kau buat dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Memang Vida banyak menderma ke masjid dan sekolah dan membantu orang miskin, itu amal kebaikan dan kebajikan.

Tapi menaja Kelantan ini lain, bukan kebajikan. Kalau kebajikan kau sumbang saja duit puluhan juta beli tanah dan buat padang bola seluruh Kelantan, bagi anak-anak Kelantan main dan jangan paksa mereka pakai seluar bola merah jambu. Itu kebajikan.

Akhir kata, mungkin ada yang akan bercakap "dia ada duit, suka hati dialah nak buat apa, kau tak ada duit, duduk diam-diam".

Kalau ada yang berfikiran begitu, maka punahlah dunia kita ini bila kita fikir siapa yang berduit boleh buat apa saja, seperti mengambil kesempatan atas kesempitan pihak lain.

No comments

Powered by Blogger.